Monday, January 3, 2011

Kuliah (1) Mengenali Allah dan Tawakal

Kuliah Akidah

Oleh Ustaz Adha Buyong di Masjid Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.

Bagaimana mengenali Allah secara yakin berdasarkan buku tulisan Sayid Sabiq

Mempercayai Allah adalah kunci kepada lima rukun iman yang lain.
Mempercayai itu bergerak bersama menanam, mengiyakan dan membenarkan.
  • Isu berkaitan tawakal

Tawakal bermaksud menyerahkan kepada Allah perkara yang mungkin tidak dapat diselesaikan secara sendiri. Melainkan pertolongan Allah yang memudahkan.

Tawakal menyerahkan bulat-bulat kepada Allah. Tawakal yang baik hanya datang daripada iman seseorang.

Ada tiga ikatan dalam menyelesaikan sesuatu perkara, iaitu iman, tawakal dan bantuan Allah.

Perkara ini disebutkan dalam surah al Fatihah ayat ke lima, “Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”

Dari tafsir al Fatihah ini, tawakal dan usaha datang bersama. Iaitu, “Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah.” itu adalah ciri berusaha, “dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan,” itu adalah ciri tawakal.

Tawakal tanpa berusaha adalah kemalasan, berusaha tanpa tawakal adalah kesombongan. Tidak ada tawakal dan usaha itu adalah membabi buta.
  • Bagaimana memulihkan iman?

Berdasarkan pandangan Saidina Umar, “Manusia dilahirkan bersama iman. Manakala iman itu bergantung kepada ketaatan.”

Allah bukan sekadar menyeru manusia taat, malah disediakan cara-cara mentaati. Di situ adanya rukun Islam.

Melaluinya itulah cara menggilap ketaatan.

Ketaatan menjadikan solat itu dilakukan secara redha dan terbuka.

Cara mengenali Allah

Sayid Sabiq menggariskan tiga perkara.

  • Pertama, dengan akal fikiran yang memikirkan setiap kejadian.
  • Kedua, melalui Asma ul Husna
  • Ketiga, mengenali sifat Allah

Pada zaman nabi Muhammad, nabi ada menyebut mengenai Asma ul Husna, tetapi tidak menyatakan jumlah sifat Allah. Sehinggalah zaman tabien, mereka menyenaraikan 20 sifat Allah sebagai memudah cara Muslim mengingati Allah dengan lebih baik.

Sayid Sabiq menyatakan setiap anggota ada tujuan. Iaitu, menggambarkan, memeriksa dan mengamati apa yang berlaku.

Semakin digunakan semakin elok keadaanya. Sebagaimana akal yang digunakan sebaik mungkin.

Dalam surah Yunus ayat 011 Allah berkata, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya.”

Perkataan ‘unzur’ digunakan dalam ayat bermaksud melihat dengan teliti bersama berfikir. Iaitu secara mendalam. Tidak menggunakan perkataan ‘ra’a’ yang hanya melihat sahaja.

Dalam surah Saba, ayat 46 disebutkan, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu…”

Ayat ini menunjukkan Allah sudah menyediakan perkara-perkara yang membantu manusia berfikir. Analoginya, samalah seperti kanak-kanak dan alatan sekolah. Tanpa kehendak kanak-kanak itu, alatan sekolah yang dibekalkan kepadanya tidak akan memberi manfaat kepada dirinya.

Mengucapkan zikir adalah cara menguatkan iman.

Penutup kuliah dipetik surah al A’raf ayt 179, “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”

No comments:

Post a Comment